Followers

POLIS THAI RAMPAS SEJUMLAH BESAR WANG TUNAI DIPERCAYAI HASIL JUALAN DADAH



POLIS THAI RAMPAS SEJUMLAH BESAR WANG TUNAI DIPERCAYAI HASIL JUALAN DADAH

SONGKHLA, 9 Feb:Pihak berkuasa Thai merampas sejumlah besar mata wang Ringgit Malaysia (RM) dan Thai Baht dipercayai hasil jualan dadah di selatan Thailand serta Kelantan dalam satu sekatan jalan raya di sini.

Ketua Polis Bahagian Kesembilan Mej Jen Sakorn Thangmuni berkata, seorang lelaki dan seorang wanita menaiki sebuah kereta ditahan dalam sekatan jalan raya
yang seterusnya membawa kepada penemuan sejumlah besar wang.

"Dalam sekatan jalan raya itu, pihak berkuasa hanya menemui wang sebanyak satu juta Baht tetapi tiada barangan menyalahi undang-undang," katanya kepada pemberita pada sidang media di sini hari ini.

Hasil siasatan lanjut, pihak berkuasa menurutya mendapati wanita berusia 47 tahun terbabit pernah cuba mengirim lima juta Baht (kira-kira RM641,000) kepada pengedar dadah di Sungai Golok, sebelum berjaya dirampas.

Sakorn juga berkata, suami wanita itu sedang meringkuk di dalam penjara di Kelantan selepas ditahan bersama-sama 70,000 pil kuda dalam satu operasi kira-kira tiga tahun lepas.

Wanita terbabit kemudiannya telah membawa anggota pihak berkuasa ke sebuah kondominium di Hatyai, di mana pihaknya menemui wang tunai sebanyak RM1.5 juta dan Thai Baht sebanyak 41 juta (kira-kira RM5.2 juta).

"Kesemua duit itu disembunyikan dalam dua buah beg di bawah katil. Pihak berkuasa juga menemui pelbagai barangan kemas, selain turut merampas sebuah kereta," katanya.

Seterusnya dalam serbuan ke rumah wanita itu di Sungai Golok, pihak berkuasa menemui wang tunai sebanyak RM80,000 yang diakui olehnya sebagai milik suami beliau yang sedang ditahan di penjara di Kelantan, katanya.

Sakorn berkata, kedua-dua yang ditahan itu akan dipindahkan ke Bangkok bagi membolehkan pihak berkuasa menyiasat sama ada mereka terlibat dengan rangkaian Raja Dadah ASEAN atau seorang pengedar dadah utama selatan Thailand.