Followers

Tuan Ibrahim 'malu alah', Abdul Hadi belum bagi 'signal' turun - Penganalisis



Wan Syamsul Amly

KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man disifatkan masih malu alah untuk mencabar Presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada muktamar parti awal Jun ini.

Penganalisis politik, Prof Madya Dr Muhammad Fuad Othman berkata, keputusan itu juga dilihat kerana Abdul Hadi masih tidak memberi petanda akan turun daripada jawatan tertinggi parti yang dipegangnya sekian lama.

"Abdul Hadi belum cakap dia mahu turun malahan tidak ada sebarang signal untuk melepaskan jawatan itu. Jika dia kata mahu turun, baharulah Tuan Ibrahim tidak malu alah untuk menerima jawatan itu.

"Bukan sahaja Tuan Ibrahim, saya rasa ada dua atau tiga nama lagi akan menawarkan diri untuk bertanding jawatan itu jika Abdul Hadi kata dia akan lepaskan kerusi tertinggi PAS itu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Dr Mohammad Fuad mengulas keputusan Tuan Ibrahim pada Selasa yang menolak pencalonan untuk mencabar Abdul Hadi dengan alasan percalonan itu tidak membina keutuhan parti itu.

Tuan Ibrahim turut menganggap pencalonannya sebagai Presiden merupakan satu kejutan selain melihatnya tidak pernah dipertandingkan khususnya di era Kepimpinan Ulamak.

Bagaimanapun jelas Dr Mohammad Fuad, era kepimpinan Abdul Hadi juga sudah hampir ke penghujungnya namun masih belum diumumkan waktunya.

"Semua tahu zaman Abdul Hadi sudah di penghujungnya cuma dia masih belum umumkannya lagi.

"Kalau dia umum, pasti Tuan Ibrahim akan menerima jawatan itu.

"Apa yang terjadi kini adalah budaya Melayu yang menghormati pemimpin dan akan menunjukkan kesetiaan selagi orang nombor satu belum mengumumkan untuk mengundurkan diri," katanya.

Sebelum ini Penganalisis politik, Prof. Dr. Ahmad Atory Hussain berkata, PAS dilihat akan lebih kuat seandainya Abdul Hadi mengundur diri dari terus mempertahankan jawatan itu.

Jelas Atory, ia akan membuka jalan kepada Tuan Ibrahim untuk menggantikan kerusi itu dengan tersusun dan perancangan seterusnya dapat dijalankan dengan lancar.